SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI SK KAMPUNG ALIT,KABONG...SALAM TERUS MENJULANG SARAWAK... Portal SK Kpg Alit
MENJADIKAN SK KAMPUNG ALIT SEKOLAH CEMERLANG...


Recent Video

Khamis, 20 Mac 2014

SEGAK SK KAMPUNG ALIT,KABONG 2014

20/03/2014
SEGAK - STANDARD KECERGASAN FIZIKAL KEBANGSAAN




Penilaian SEGAK bagi tahun 2014 SK Kampung Alit, Kabong telah dilaksanakan pada 20/03/2014. SEGAK adalah satu set ujian standard kecergasan fizikal untuk mengukur tahap kecergasan fizikal murid berasaskan kesihatan. Komponen kecergasan yang diukur dalam SEGAK terkandung dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan menengah. Terdapat 5 set ujian SEGAK iaitu;
1 Pengiraan Indeks Jisim Badan
2 Ujian Naik Turun Bangku Selama 3 Minit
3 Ujian Tekan Tubi
4 Ujian Ringkuk Tubi Separa
5 Ujian Jangkauan Melunjur
Program penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) ini dirancang selari dengan tunjang kecergasan yang terkandung dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Rendah dan Menengah.
Kecergasan yang optimum boleh membantu murid dalam melaksanakan aktiviti harian dengan cekap dan berkesan tanpa berasa letih. Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan bagi setiap item ujian dan dinilai mengikut norma yang telah ditetapkan. Dengan ini, satu penilaian yang standard dapat diukur.
SEGAK mula diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005. Ujian ini dirancang untuk dilaksanakan sepenuhnya kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 mulai sesi persekolahan tahun 2008. Pelaporan hasil SEGAK akan menjadi komponen kecergasan kepada penilaian berasaskan sekolah.
Matlamat
Murid sentiasa peka, berpengetahuan dan mengamalkan aktiviti kecergasan untuk meningkat dan mengekalkan tahap kecergasan fizikal berasaskan kesihatan yang optimum.
Objektif
Murid dapat:
1. mengukur dan merekod tahap kecergasan fizikal;
2. menganalisis dan mentafsir kecergasan fizikal kendiri;
3. mengetahui tahap kecergasan kendiri;
4. merancang dan melakukan tindakan susulan; dan
5. mencapai tahap kecergasan yang diiktiraf berdasarkan prestasi semasa.

PENILAIAN SEGAK
1. PENGIRAAN INDEK JISIM BADAN

Ukuran: 
Indeks Jisim Badan (BMI-for-age) Tujuan: Menilai komposisi badan

Tahap: 
Murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5

Jantina: 
Lelaki dan Perempuan

Alatan dan kemudahan:
i. Pengukur tinggi
ii. Penimbang berat
iii. Borang skor
Pengurusan dan organisasi:
Pengukuran ini hendaklah dilakukan sebelum bateri ujian kecergasan dilaksana.

Prosedur:
1. Murid dikehendaki menimbang berat badan dan mengukur ketinggian dalam    ukuran metrik.
2. Kiraan indeks jisim badan berdasarkan formula berikut;
                  Indeks Jisim Badan =      Berat badan (kg)    
                                                      Tinggi (m) x Tinggi (m)

3. Rujuk jadual di bawah untuk mengenal pasti indeks jisim badan dan risiko yang berkaitan. 






 2. UJIAN NAIK TURUN BANGKU SELAMA 3 MINIT 
Abu Bakar & Jacquelin Ronnie melakukan ujian 'naik turun bangku' sambil diperhatikan oleh cikgu Napie dan ustaz Che Baharudin serta murid-murid tahun 6.

Tujuan:
Untuk menilai daya tahan kardiovaskular
Tahap:
Murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5
Jantina:
Lelaki dan Perempuan
Alatan dan kemudahan:
1. Bangku - Ketinggian 30.5 cm (1 kaki)
2. Jam Randik
3. Borang Skor
4. Rakaman metronome (96 detik seminit) -->MUAT TURUN DI SINI 
5. Radio CD

Permulaan Naik Turun Bangku
Pengurusan dan organisasi:
1. Aktiviti dijalankan berpasangan.
2. Letakan bangku di atas lantai yang rata dan selamat.(Pastikan bangku tidak bergerak semasa ujian dijalankan.)
3. Sediakan rakaman atau metronome rentak 96 detik seminit.
Prosedur:
1. Ujian dijalankan dengan murid memakai kasut sukan yang sesuai.
2. Murid berdiri tegak dengan kaki kanan atau kiri (yang mana sesuai)      diletakkan di atas bangku.
3. Penguji akan memberikan isyarat 'mula'.
4. Murid melakukan pergerakan naik dan turun bangku (kaki kiri naik, kaki  kanan turun diikuti kaki kiri turun, kemudian kaki kanan naik dan seterusnya).  Keseluruhan tapak kaki mesti memijak permukaan bangku.
5. Murid melakukan pergerakan mengikut rentak rakaman atau metronome  dengan kadar 96 detik seminit selama 3 minit tanpa berhenti.
6. Selepas tamat murid dikehendaki duduk serta merta.
7. Guru atau murid mengambil kadar denyutan nadi.
8. Kira kadar denyutan nadi selepas 5 saat tamat perlakuan.
9. Kadar nadi diambil dalam jangkamasa 1 minit.
10. Jika murid tidak menamatkan lakuan selama 3 minit, skor murid ini  dibatalkan.
Ujian ini diambil daripada YMCA 3-Minute Step Test.
Sumber: David K. Miller (2006, Measurement by the physical educator: Why and how (5th ed) 



3(a).UJIAN TEKAN TUBI 
Abu Bakar melakukan ujian 'tekan tubi' sambil diperhatikan Syahrul Azman sebagai pencatat.

Tujuan:
Untuk menilai keupayaan daya tahan dan kekuatan otot tangan serta otot bahu. 
Tahap:
Murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 

Jantina:
Lelaki
Alatan dan kemudahan:
1. Kawasan lapang dan rata.
2. Span ( 5 cm lebar x 15 cm panjang x 10 cm tinggi).
3. Jam Randik.
Pengurusan dan organisasi:
1. Ujian dilaksanakan secara berpasangan.
2. Murid A melakukan ujian dan murid B sebagai pencatat.
Prosedur:
1. Mula dengan kedudukan sokong hadapan dengan berat badan disokong oleh  tangan yang lurus dan jari-jari kaki. Badan diluruskan.
2. Turunkan badan dengan membengkokkan siku sehingga dada menyentuh  span yang tingginya 10 cm.
3. Luruskan tangan seperti kedudukan sedia. Kiraan satu ulangan lakuan. 4.  Tekan tubi diteruskan sehingga satu minit. Skor dikira sekiranya murid    melengkapkan prosedur 1 hingga 3.
5. Sekiranya murid tidak berupaya meneruskan tekan tubi, skor diambil kira  setakat murid berhenti.
6. Ujian akan ditamatkan jika murid tidak melakukan aktiviti secara sempurna  mengikut arahan 1 hingga 3.
Ujian ini diambil daripada Johnson dan Nelson (1986).
Sumber: David K. Miller (2006, Measurement by the physical educator: (5th ed)Why and how


3(b).UJIAN TEKAN TUBI SUAIAN
Tujuan:
Untuk menilai keupayaan daya tahan dan kekuatan otot tangan serta otot bahu. 
Tahap:
Murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5
Jantina:
Perempuan
Alatan dan kemudahan:
1. Kawasan lapang dan rata.
2. Span ( 5 cm lebar x 15 cm panjang x 10 cm tinggi).
3. Jam randik.
4. Tilam senaman
Pengurusan dan organisasi:
1. Ujian dilaksanakan secara berpasangan.
2. Murid A melakukan ujian dan murid B sebagai pencatat.
Prosedur:
1. Mula dengan kedudukan sokong hadapan dengan berat badan disokong oleh  tangan lurus, lutut bengkok dan kaki disilang. Badan diluruskan.
2. Turunkan badan dengan membengkokkan siku sehingga dada menyentuh  span yang tingginya 10 cm.
3. Luruskan tangan seperti kedudukan sedia. Kiraan satu ulangan lakuan.
4. Tekan tubi diteruskan sehingga satu minit. Skor dikira sekiranya   murid melengkapkan prosedur 1 hingga 3.
5. Sekiranya murid tidak berupaya meneruskan tekan tubi, skor diambil kira  setakat murid berhenti.
6. Ujian akan ditamatkan jika murid tidak melakukan aktiviti secara sempurna  mengikut arahan dua kali berturut-turut.
Ujian ini diambil daripada Johnson dan Nelson (1986).
Sumber: David K. Miller (2006, Measurement by the physical educator: Why and how (5th ed)



4. UJIAN RINGKUK TUBI SEPARA

Tujuan :
Untuk menguji daya tahan dan kekuatan otot abdomen.
Tahap :
Murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5
Jantina :
Lelaki dan perempuan
Alatan dan kemudahan :
1. Pita lekat bersaiz 2.5 cm
2. Pita ukur
3. Jam randik
4. Metronom 50 dsm --> MUAT TURUN DI SINI 
5. Pelapik getah
6. Penanda 15 cm seperti pensel, lidi atau straw minuman
Pengurusan dan organisasi:
1. Lekatkan penanda dengan pita pelekat secara selari pada lantai di kiri dan  kanan pelaku.
2. Jarak antara kedua-dua penanda ialah 10 cm.
Prosedur:
1. Ujian ini dijalankan dengan murid memakai kasut yang sesuai.
2. Murid A baring dengan lutut bengkok 90 darjah dan tapak kaki sentiasa  menyentuh lantai.
3. Buka kaki seluas bahu.
4. Kedua-dua belah tangan lurus di sisi dan hujung jari menyentuh penanda  pertama
5. Pada setiap lakuan ringkuk, bahu perlu diangkat supaya jari tengah kedua-  dua tangan menggelunsur hingga menyentuh penanda kedua.
6. Bahagian bawah/belakang badan hendaklah rata dan jari tengah pada  kedudukan asal, (ulang prosedur 4) sebelum melakukan ulangan yang  seterusnya.
7. Murid melakukan pergerakan mengikut rentak rakaman metronom dengan kadar 50 detik seminit selama 1 minit.
8. Murid B mengira ulangan perlakuan.
9. Ujian akan ditamatkan sekiranya murid A :-
    9.1 Berhenti melakukan ujian.
    9.2 Jari tidak menyentuh penanda kedua.
    9.3 Tumit diangkat.
    9.4 Tidak dapat mengikut rentak rakaman metronom dua kali berturut-turut.
Ujian ini diambil daripada The President's Challenge (Preseident's Council on Physical Fitness and Sports, 2002).
Sumber: David K. Miller (2006, Measurement by the physical educator: Why and how (5th ed).


5. UJIAN JANGKAUAN MELUNJUR

Tujuan:
Untuk mengukur fleksibiliti bahagian belakang badan, paha dan sendi pinggul (lower back and posterior thighs)
Tahap:
Murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5
Jantina:
Lelaki dan perempuan
Alatan dan kemudahan: 
1. Alat pengukur jangkauan
2. Borang skor.
Pengurusan dan organisasi:
1. Gunakan alat pengukur jangkauan yang disediakan.
Prosedur:
1. Murid duduk melunjur tanpa kasut. Tapak kaki di letak di belakang penanda  23 cm.
2. Kedua-dua kaki lurus sepanjang masa ujian. Rakan memegang lutut.
3. Tapak tangan kanan ditindih di atas belakang tapak tangan kiri dalam  keadaan hujung jari tengah hendaklah sama.
4. Dagu rapat ke dada. Jangkaukan tangan perlahan-lahan sejauh yang  mungkin atas pita pengukur.
5. Jangkauan hendaklah dikekalkan selama 3 saat tanpa menyentap.
6. Murid diberi tiga percubaan berturut-turut. Percubahan terbaik diambil kira  sebagai skor. Bacaan dikira pada sentimeter yang terhampir. Tidak perlu  merekod dalam titik perpuluhan.
7. Murid yang membantu memegang lutut pelaku tidak mengganggu pelaku.
Ujian ini diambil daripada American Association For Health, Physical Education, Recreation and Dance (AAHPERD), 1980. Sumber: David K. Miller (2006), Measurement by the physical educator: Why and how (5th ed).






Selasa, 18 Mac 2014

TERKINI !: PENAMBAHBAIKAN (PBS)

18/03/2014
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi persekolahan tahun 2012. Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru menyatakan bahawa mereka dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.
Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.
Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.

#Muat turun: klik Lampiran
Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.
Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.
Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.
PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.
Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.
Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.
Penambahbaikan PBS akan dilaksanakan mulai April 1.


Sumber: KPM




Ahad, 16 Mac 2014

PBS: TIDAK PERLU ISI DATA ONLINE

PBS: GURU TIDAK PERLU MASUKKAN DATA SECARA DALAM TALIAN

HULU LANGAT 16 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu , guru-guru tidak perlu lagi memasukkan data sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) secara dalam talian selepas ini.
Sebaliknya beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, data sistem PBS itu hanya perlu disimpan sendiri oleh guru sebagai rekod dalam usaha kerajaan meringankan beban guru. -
Sember: UTUSAN ONLINE




ELAK INSOMNIA

ELAK INSOMNIA

Penyakit ‘insomnia’ adalah istilah saintifik yang acap kali kita dengar. Kebiasaannya golongan remaja dan anak muda akan berdepan dengan masalah gaya hidup tidak sihat ini. Secara amnya, penyakit ini sering menjadi punca tidur anda terganggu. Selalunya penyakit ini bermula ketika zaman pengajian di universiti lagi yang mana kebanyakan pelajar gemar menghabiskan waktu malam hingga lewat untuk belajar. Kemudian ia menjadi gaya hidup dan tabiat untuk terus tidur lewat dan kemudian bangun lewat pagi.
Tidak terlepas juga bagi golongan anak muda yang tidak belajar sebaliknya menghabiskan waktu malam hingga awal pagi untuk melepak dengan teman dan kemudian melayari internet. Ini adalah punca dan sebab yang mendorong gaya hidup seseorang individu itu untuk berdepan masalah insomnia.
Sesuatu yang pasti, penyakit ini perlu dijauhkan dan dielakkan. Tidak cukup sekadar mengambil ubat yang dicadangkan pihak doktor sebaliknya penyelesaiannya bermula dengan diri sendiri.
Apa kata bagi anda yang menghadapi masalah ini bolehlah mengikuti beberapa langkah yang disifatkan terbaik untuk membantu mengurangkan masalah ini.
Pertamanya, elakkan cahaya kerana hormon melatonin (membantu anda tidur) sangat dipengaruhi oleh cahaya yang diterima oleh mata. Jika cahaya sangat terang, ia akan melambatkan proses pengeluaran hormon itu. Tutup televisyen, komputer atau peralatan elektronik lain sebelum tidur.
Kedua pula tolong jauhkan diri dari melihat jam. Apabila mata kerap melihat ke arah jam terutama pada waktu malam, anda akan mengalami kesukaran untuk tidur kerana kerap rasa bimbang dengan baki waktu tidur anda sebelum hari esok bermula.
Jika anda mempunyai tabiat ini, cuba sembunyikan jam dalam laci atau bawah tempat tidur.
Ketiga yang acap kali menjadi punca kepada kebanyakan anak muda adalah mengambil kafein waktu malam. Minum kopi di pagi hari mungkin bagus untuk sesetengah orang. Namun, anda perlu mengelakkan minuman ini menjelang waktu tidur.
Kurangkan juga pengambilan coklat, cola atau teh. ‘Pain killer’ dan pil penurun berat badan juga mengandungi kafein dan tidak sesuai diambil pada waktu malam.
Keempatnya, aturkan jadual tidur. Jika sebelum ini anda seorang yang kerap tidur pada lewat malam, cuba anda reka satu jadual tidur yang betul. Set pada minda bahawa anda sepatutnya tidur pada pukul 10 malam. Dengan cara ini, anda dapat memaksa diri anda untuk tidur pada waktu yang betul.
Kelima pula, khusus kepada kebanyakan remaja lelaki, jangan merokok sebelum tidur. Nikotin juga adalah perangsang seperti kafein. Ia akan membuatkan anda semakin terjaga dan boleh memburukkan lagi insomnia. Latih diri anda untuk berhenti merokok pada waktu malam.
Keenam, jauhkan binatang peliharaan dari katil tempat anda tidur. Gerakan anjing atau kucing kesayangan pada waktu malam akan menghalang anda mendapat tidur yang nyenyak. Mereka juga boleh membawa kutu, debu, bulu dan pencetus alergi lain ke tempat tidur anda. Tempatkan mereka di luar bilik tidur pada waktu malam.
Terakhir yang paling penting untuk semua individu sebenarnya, tenangkan fikiran anda sebelum tidur. Bagi minda dan emosi anda tenang kira kira satu jam sebelum tidur. Bacalah buku, mendengar muzik atau mandi menggunakan air panas untuk menenangkan fikiran.


Sumber: Harian Metro




Jumaat, 14 Mac 2014

PENCARIAN BAKAT PELAJAR PINTAR CERDAS

PENCARIAN BAKAT PELAJAR PINTAR CERDAS

PROGRAM PERMATA PINTAR DAN PERMATA INSAN SESI 2014
YBhg. Dato’/Tuan,

Sukacita dimaklumkan bahawa Saringan Pertama Pencarian Bakat Pelajar Pintar Cerdas Saringan Peringkat Pertama Ujian PERMATAPintar UKM1 telah bermula dari 1 Februari hingga 31 Mei 2014. Ujian tersebut terbuka kepada semua murid berikut :
a) Program PERMATA Pintar bagi murid berumur 9 hingga 15 tahun dan boleh diakses secara atas talian di laman web http://ukm1.permatapintar.edu.my
b) Program PERMATA Insan bagi murid berumur 8 tahun dan boleh diakses secara atas talian di laman web http://permatainsan.usim.edu.my/

Sekian, terima kasih.





Sumber: Portal KPM






Rabu, 12 Mac 2014

PRAY FOR MH370

PRAY FOR MH370


Ke mana menghilang
terlalu pantas ia pergi
sepantas itu ia tertulis
menerpa lakaran hitam
hilang di sebalik awan
namun belum terlihat pulang
untuk bertemu insan tersayang

Semua jiwa yang ada
menadah doa harapan
agar semuanya kembali
memadam lakaran hitam
mengusap air mata bergenang
melakar sebuah senyuman

Sabarlah
rahsia itu milik Allah
semua hati resah harus tabah
berdoalah selagi terdaya
sabarlah segala upaya
segala jawapan milik yang Maha Esa.





Selasa, 11 Februari 2014

PBS DITANGGUH LAGI HINGGA APRIL INI

11 FEBRUARI 2014
PELAKSANAAN PBS DITANGGUH LAGI HINGGA APRIL
Pelaksanaan sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dikaji semula selepas pelbagai aduan diterima daripada golongan guru.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kementerian Pendidikan perlu mengkaji semula pelaksanaannya ekoran pelbagai masalah dalam urusan merekodkan butiran dalam pangkalan data pengkomputeran sistem berkenaan.
"Buat masa ini, sistem aplikasi PBS itu ditangguh sehingga April depan, namun, guru masih perlu menjalankan kerja-kerja merekodkan butiran dan pelbagai perkara yang berkaitan PBS secara manual tanpa menggunakan komputer," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan guru-guru di Sekolah Menengah Presint 8(1), Putrajaya hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad, Ketua Pengarah Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya, Roaini Jaafar.
Dalam pertemuan sejam itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata mereka membincangkan mengenai pelbagai masalah yang dihadapi guru berhubung sistem aplikasi komputer PBS berkenaan.
Muhyiddin berkata kementerian akan menjadikan Sekolah Menengah Presint 8(1) Putrajaya sebagai satu kajian kes mengenai permasalahan sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS.
Beliau juga berkata kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diguna pakai di sekolah-sekolah di seluruh negara sekarang akan turut dikaji semula berikutan pelbagai masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pengkomputeran aplikasi berkenaan, katanya.
Muhyiddin berkata kementerian akan membuat keputusan mengenai dua perkara berkenaan iaitu sistem pengkomputeran aplikasi PBS dan kaedah PBS, sama ada untuk meneruskannya atau tidak pada satu mesyuarat yang akan diadakan kementerian dalam masa terdekat.
PBS merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik. Bagaimanapun, sejak tahun lepas, golongan guru mendakwa ia membebankan mereka berikutan sistem aplikasi pengkomputeran itu sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.
- Bernama
Kemaskini 23 Februari 2014








Selasa, 14 Januari 2014

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1435H

14/01/2014
SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1435H PERINGKAT DAERAH SARATOK

Sepanduk dipertandingkan.


SARATOK- Sempena meraikan ulang tahun keputeraan baginda Rasulullah SAW pada 14 januari 2014 bersamaan 12 Rabiulawal 1435H peringkat Daerah Saratok. Seramai 30 kontinjen telah menyertai acara perarakan kali ini. 

Selain kemeriahan dengan adanya perarakan oleh kontinjen yang mengambil bahagian, tidak ketinggalan juga acara pada hari ini juga telah dimeriahkan dengan pertandingan sepanduk, dan menjadikan perakan yang penuh warna-warni beserta selawat memuji junjungan Nabi Muhammad SAW sepanjang perarakan.

Bagi kontinjen SK Kampung Alit, Kabong, ini adalah kali ketiga menyertai sambutan Maulidur Rasul. Pada kali ini SK Kampung Alit menyertai pertandingan sepanduk bagi kategori B (PRINT), namun mungkin bukan rezeki pada tahun ini dan hanya menerima sijil penyertaan dan hadiah sagu hati. Walau bagaimana pun, apa yang lebih penting ialah dapat turut sama meraikan sambutan Maulidur Rasul kali ini adalah lebih utama dan semoga mendapat ganjaran daripada Allah SWT.


















GALERI:




Arkib Berita:

Buletin Alit

Pemberitahuan

__________________________________________________________________________________________________________
__________________________________________________________________________________________________________

PENAFIAN / PERINGATAN!

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kehilangan atau kerosakan setelah melayari atau memuat turun maklumat di laman ini dan segala risiko adalah ditanggung oleh pihak anda sendiri. Harap maklum.
__________________________________________________________________________________________________________
RECOMMEND:
Better view use Google Chrome or Mozilla Firefox. The proposed resolution of at least 1280x800.
__________________________________________________________________________________________________________
WAKTU SOLAT